MAIPk PERKASA KEFAHAMAN ZAKAT & WAKAF BERSAMA KOMUNITI SERI BIDOR
BIDOR, 25 Julai 2025 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Cawangan Tapah terus komited menyantuni masyarakat setempat melalui penyampaian maklumat berkenaan fungsi serta peranan institusi zakat secara langsung kepada komuniti.
Sempena Program Jalinan Insan Wahana Inspirasi (JIWA) @ Komuniti Madani Jalan Pahang anjuran Pejabat Penerangan Daerah Batang Padang, satu sesi taklimat khas telah disampaikan oleh Pengurus Besar MAIPk Zon Selatan, Wan Abdul Halim Hafiidz bin Mohd Amin, bertempat di Rumah Pangsa Seri Bidor, Jalan Teluk Intan, Bidor.
Dalam sesi tersebut, penceramah MAIPk telah memberikan penerangan secara terperinci mengenai peranan utama MAIPk, merangkumi aspek kutipan dan agihan zakat, pengurusan harta wakaf serta harta-harta sumber am.
Penduduk setempat turut diberi pendedahan tentang pelbagai skim bantuan zakat yang ditawarkan, termasuk bantuan kewangan bulanan, bantuan perubatan, bantuan am pelajaran, bantuan pendidikan serta sokongan kepada penganjuran aktiviti keagamaan Islam.
Program seumpama ini menjadi platform penting dalam usaha memperluas kefahaman masyarakat terhadap institusi zakat dan wakaf, selain menggalakkan penyertaan aktif umat Islam dalam menyumbang serta memanfaatkan instrumen kebajikan Islam demi kesejahteraan ummah.





