ISRAK MIKRAJ
Israk Mikraj membawa kita mengimbau kisah yang sangat penting dalam sirah Rasulullah SAW. Peristiwa ini datang pada tahun yang penuh duka bagi Baginda SAW selepas kehilangan dua insan yang sangat mendukung segala usaha dakwah Baginda SAW dalam menyebarkan Islam, iaitu Ummul Mukminin Saidatina Khadijah, seorang isteri yang setia, dan Abu Talib, bapa saudara Baginda SAW yang banyak melindungi dan mempertahankan Baginda SAW daripada ancaman kaum musyrikin Makkah. Tahun itu juga dikenali sebagai Tahun Dukacita.
Namun, Allah SWT mengurniakan Israk Mikraj sebagai penghibur hati Baginda SAW. Dalam perjalanan yang penuh makna ini, Baginda SAW menerima amanah besar, iaitu perintah solat 50 waktu yang akhirnya dikurangkan menjadi 5 waktu sahaja namun ganjarannya tetap setimpal dengan 50 waktu.
Kini, bersempena dengan sambutan Israk Mikraj, marilah kita bermuhasabah diri. Sudahkah kita menunaikan solat lima waktu dengan sempurna? Tidak malukah kita kepada Allah SWT yang telah memberikan kemudahan dengan mengurangkan kewajipan solat namun tetap memberikan ganjaran yang besar?
Solat itu adalah tiang agama dan jika tiada solat fardu maka runtuhlah segala amalan kita. Marilah kita sempurnakan Rukun Islam yang kedua ini. Dengan itu, amalan lain akan menjadi lebih bermakna dan penuh keberkatan.
Selain itu, jangan dilupakan kewajipan berzakat. Tunaikanlah zakat anda bersama MAIPk.