KURSUS KIMPALAN SKIM LATIHAN KEMAHIRAN ASNAF TAHUN 2024
Majlis Agama Islam dan ‘Adat Malayu Perak telah mengadakan lawatan dan pemantauan terhadap pelatih-pelatih belia asnaf yang sedang mengikuti kursus kimpalan di lokasi latihan mereka, iaitu di TWI Technology (S.E.Asia) Sdn. Bhd. pada 24.09.2024 & Pusat Pembangunan Usahawan dan Kemahiran Perak (PESDC) pada 26.09.2024.
Sejumlah 21 orang pelatih daripada kalangan belia asnaf ini telah dipilih untuk mengikuti kursus kimpalan di bawah Skim Latihan Kemahiran Asnaf MAIPk. Kursus ini mengambil masa antara 4 hingga 6 bulan.
Delegasi MAIPk diketuai oleh Pengurus Bahagian Agihan Zakat, Encik Noraizad bin Rosli telah menyampaikan taklimat ringkas dan amanat kepada para pelatih.
Latihan ini diadakan bertujuan untuk melahirkan belia yang berkemahiran dalam bidang kimpalan agar dapat memenuhi permintaan industri kini. Program ini juga membuka peluang kerjaya yang lebih baik setelah tamat latihan.
Dengan adanya kursus-kursus kemahiran yang menjamin pekerjaan seperti ini amatlah membantu belia asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan, membantu ibu dan ayah yang selama ini bersusah payah membesarkan mereka. Seterusnya pelatih dapat berbakti kepada masyarakat dan menjadi penyumbang kepada kemajuan negara.