MAJLIS PENYERAHAN PERALATAN PESERTA KURSUS KULINARI & PASTRI PROGRAM PEMERKASAAN EKONOMI ASNAF (PROPER A) 2023
IPOH, 18 Oktober 2023 - Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) telah mengadakan Majlis Penyerahan Peralatan Peserta Kursus Kulinari & Pastri Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A) 2023 di Hotel Seri Malaysia, Ipoh yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Tuan Shahrul Azam bin Shaari.
PROPER A merupakan program yang dilaksanakan oleh MAIPk saban tahun sejak tahun 2016 bertujuan membangunkan potensi para asnaf dan penerima bantuan MAIPk melalui program bersifat keusahawanan dan kegiatan perniagaan berskala kecil sebagai salah satu usaha dan membuka laluan alternatif kepada asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan.
Program yang diletakkan di bawah teras Program Pembangunan Ekonomi disediakan kepada kelompok asnaf dan penerima bantuan MAIPk di dalam dua skim iaitu Skim Latihan Keusahawanan Asnaf ; peserta perlu mengikuti kursus dan latihan berkala yang ditetapkan oleh MAIPk dalam tempoh 6-12 bulan mengikut modul dan kursus tertentu. Kedua, Skim Bantuan Modal Perniagaan ; peserta yang mengikuti kursus dan latihan bersama MAIPk dan penerima bantuan yang telah mula berniaga secara kecil-kecilan akan dibekalkan barangan dan peralatan serta suntikan modal awal bagi mengembangkan lagi perniagaan.
Bagi tahun 2023, dana berjumlah RM2.5 juta diperuntukkan oleh MAIPk bagi menjalankan program PROPER A dan menfokuskan seramai 300 asnaf yang akan menerima manfaat daripada pelaksanaan pelbagai program dan kursus. Enam program PROPER A yang telah dijalankan pada tahun 2023 seperti berikut :
- Kursus Kulinari dan Pastri : 20 peserta / RM199,986.00;
- Kursus Tanaman Cendawan Tiram : 15 peserta / RM264,766.20;
- Kursus Refleksologi dan Urutan Mobile : 30 peserta / RM288,540.00
- Kursus Perbidanan : 20 peserta / RM199,400.00
- Kursus Ternakan Ayam Kampung : 10 peserta / RM250,000.00
- Kursus Pembuatan Pusara dan Batu Nisan : 6 peserta / RM150,000.00
Bagi kursus Kulinari dan Pastri ini, syarikat penyedia latihan yang dilantik oleh MAIPk ialah Syarikat Intan Foods dimiliki oleh Pn. Hasarinawati bt Abdul Wahab, iaitu Ikon Asnaf Negeri Perak yang telah dianugerahkan kepada beliau sempena Sambutan Maal Hijrah 1445. Para peserta yang dilatih akan menjalani latihan kemahiran secara intensif dan berkala selama 2 bulan dan turut akan dipantau oleh syarikat selama 4 bulan seterusnya.
Majlis penyerahan yang dijalankan pada hari ini, semua peserta menerima bantuan pembekalan peralatan kulinari dan pastri dengan amaun tidak melebih RM5,000.00 yang melibatkan jumlah keseluruhan RM100,000.00. Antara peralatan yang diterima oleh peserta adalah seperti freezer, mixer, chiller, oven gas, kuali, kanopi dan meja keluli serta pelbagai lagi peralatan perniagaan mengikut keperluan peserta.
Matlamat program ini membangunkan kebolehupayaan para peserta menghadapi dunia perniagaan sebenar, memberikan nilai tambah kepada peserta untuk benar-benar komited dan fokus ke arah membangunkan kejayaan serta mempunyai iltizam yang teguh dalam mengubah taraf hidup kepada yang lebih baik, menjana dan meningkatkan pendapatan bulanan sebanyak 30% berbanding pendapatan asal dalam tempoh 6 bulan penyertaan dalam program ini serta ke arah melahirkan para muzakki yang baharu pada masa hadapan.
Pihak MAIPk mengharapkan barangan dan peralatan yang dibekalkan dapat membantu meningkatkan produktiviti perniagaan, menghasilkan pelbagai produk makanan yang berkualiti dan sihat. Peserta diharapkan memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperolehi sepanjang kursus ini dengan sebaiknya demi meningkatkan pendapatan keluarga.
Peserta disarankan saling bantu membantu membangunkan ekonomi umat Islam seterusnya menjadi peniaga dan usahawan muslim yang berjaya serta mampu membayar zakat pada masa akan datang.
Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), En. Mohammad Rozlan bin Mohammad Razalli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) MAIPk, Puan Wan Maizura binti Wan Zahari, Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat, En. Rohizan bin Hj Omar dan Pemilik Syarikat Intan Foods (Penyedia Latihan), Pn. Hasarinawati binti Abdul Wahab.