BANTUAN PERUBATAN : BANTUAN SUSU UNTUK ISTERIKU
Hidup ini merupakan medan ujian. Ada kalanya kita mampu menempuhinya. Ada kalanya ujian tersebut dirasakan sukar untuk ditempuhi. Namun berkat kesabaran, setiap ujian yang ditakdirkan berjaya ditempuhi dengan reda. Yakinlah di sebalik ujian yang dilalui, Allah SWT menyediakan pelangi indah untuk dinikmati, sama ada di dunia mahupun di akhirat yang lebih pasti.
Demikianlah yang dilalui pasangan suami isteri yang berasal dari Kampung Kubang Gading, Kuala Kangsar ini. Puan Puteri Nor Intan Safariza binti Megat Jamaluddin yang berumur 39 tahun terpaksa tinggal berjauhan dengan anak-anaknya kerana keuzurannya. Anak-anak yang masih bersekolah terpaksa diamanahkan kepada saudara yang tinggal berdekatan dengan sekolah mereka di Chemor.
Sejak terlantar sakit, Puan Safariza dan suami tinggal menumpang di rumah ibunya di Kuala Kangsar. Pembuluh darahnya pecah dan telah menjalani pembedahan pada tempurung kepalanya. Suaminya bekerja sebagai pemandu lori dan terpaksa berulang alik setiap hari ke tempat kerjanya di Ipoh. Pendapatan suaminya sekitar RM1500 – RM2000 sebulan. Puan Safarina yang bekerja kilang sebelum ini menerima pencen ilat sebanyak RM1627.17 sejak bulan Mac 2023 yang lalu.
Puan Safarina bukan sahaja memerlukan lampin pakai buang malah dia juga memerlukan susu khas yang perlu dikonsum 5 sudu setiap 3 jam sehari. Susu tersebut diminum Puan Safarina melalui tiub khas yang perlu ditukar 3 bulan sekali oleh jururawat yang berkunjung ke rumahnya. Mereka perlu membayar caj perkhidmatan tukar tiup yang baharu dengan jumlah RM50.
Mereka masih mampu menanggung kos lampin mahupun tiub susu, namun kos untuk membeli susu khas sangat tinggi. Mereka pernah memohon bantuan tersebut daripada MAIPk sebelum ini. Kini mereka melanjutkan permohonan bantuan susu khas untuk tempoh enam bulan lagi. Syukur permohonan tersebut dimudahkan. MAIPk Daerah Kuala Kangsar meluluskan bantuan perubatan tersebut yang berjumlah RM5000.
Terima kasih muzakki yang sentiasa menyokong MAIPk. Dana zakat anda membantu kami menyantuni asnaf yang memerlukan. Teruskan membantu mereka yang memerlukan dengan berzakat kepada Zakat Perak-MAIPk. Anda kini boleh berzakat melalui online FPX. Klik https://ezakat.maiamp.gov.my
Tonton video di Instagram MAIPk
https://www.instagram.com/p/CyAk_fsvMnp/?hl=en