MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN HARI RAYA AIDILFITRI MAIPk BERJUMLAH RM10.7 JUTA
IPOH, 7 April 2023 - Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan sumbangan bantuan Hari Raya Aidilfitri oleh Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) tahun 1444H / 2023M sempena majlis sambutan Nuzul al-Quran negeri Perak serta majlis perasmian Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati, Ipoh.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri MAIPk daripada dana zakat berjumlah RM10,708,500.00. Bantuan diserahkan melalui penghulu mukim dari 12 daerah mewakili 35,695 orang penerima terdiri daripada asnaf fakir dan miskin di seluruh negeri Perak.
Penerima bantuan Hari Raya Aidilfitri dipilih daripada senarai asnaf fakir miskin yang telah dipilih dan dicadangkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Diri Jumaat Kampung Orang Asli di seluruh negeri Perak. Selain itu, semua asnaf penerima bantuan kewangan bulanan, sewa rumah dan hemodialisis oleh MAIPk juga turut menerima bantuan hari raya ini.