BANTUAN BINA RUMAH : TIDAK PERLU MENYEWA LAGI
Jemenah binti Che Lah
Kampung Matang Jelutong
Bantuan Bina Rumah
Kampung Matang Jelutong
Bantuan Bina Rumah
BAGAN SERAI - Puan Jemenah binti Che Lah dari Kampung Matang Jelutong merupakan ibu tunggal yang telah kematian suami. Dialah ibu dan dialah ayah kepada ketiga-tiga orang anaknya yang masih tinggal bersama-samanya di rumah yang disewanya itu. Dua daripada anaknya itu telah bekerja sebagai operator kilang. Merekalah yang membantu Puan Jemenah dalam perbelanjaan keluarga khususnya untuk membayar sewa rumah sekitar RM250 sebulan. Anak bongsunya pula masih bersekolah di peringkat menengah.
Puan Jemenah sendiri bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan sekitar RM35 sehari. Sering juga terfikir oleh Puan Jemenah, sampai bilalah mereka sekeluarga terpaksa hidup menyewa sedangkan bayaran sewa sebanyak RM250 sebulan itu mungkin nampak kecil bagi orang lain tetapi amat besar nilainya bagi dirinya sekeluarga.
Walau bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana ada menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Hanya doa dipanjatkan ke hadrat Allah SWT agar suatu hari nanti dia sekeluarga dapat mendiami rumah mereka sendiri.
Bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang. Betapa bersyukurnya Puan Jemenah apabila permohonannya untuk mendapatkan bantuan bina rumah MAIPk telah diluluskan. Terima kasih yang tidak terhingga apabila abang iparnya memberikan keizinan agar rumah itu dibina di atas tapak tanah miliknya.
Kini, rumah baharu yang dibina itu telah sedia untuk diduduki dan diserahkan kepada Puan Jemenah sekeluarga. Semoga dengan adanya kediaman baharu yang menjadi miliknya itu akan membawa kesejahteraan dan kemakmuran buat kehidupan Puan Jemenah sekeluarga.
Terima kasih para muzakki negeri Perak. Atas keyakinan anda menunaikan kewajipan berzakat bersama-sama Zakat Perak MAIPk, pelbagai bentuk bantuan yang bersesuaian dapat mewarnai kehidupan golongan mustahiq. Teruskan istiqamah berzakat dengan Zakat Perak-MAIPk. Tunaikan melalui online FPX. Klik https://ezakat.maiamp.gov.my.