Bantuan Perubatan MAIPk : Meringankan Sakit, Memudahkan Kehidupan
Mohamed Hanipah bin Mohamed Ramly
Bandar Behrang 2020, Behrang Stesen
Bantuan Perubatan
Bandar Behrang 2020, Behrang Stesen
Bantuan Perubatan
MUALLIM - Sejak tahun 2002, Encik Mohamed Hanipah bin Mohamed Ramly dari Bandar Behrang 2020 telah berkhidmat di sebuah institusi pengajian tinggi awam sebagai Pembantu Kemahiran. Alhamdulillah, sepanjang tempoh tersebut, dia sekeluarga dapat menjalani kehidupan yang baik walaupun sederhana.
Namun, ujian datang melanda dirinya apabila pada tahun 2019, beliau mula terlantar sakit akibat mengalami masalah jantung, menghidap diabetis, darah tinggi dan diserang penyakit saraf sehingga kini. Mujurlah isterinya yang sememangnya suri rumah sepenuh masa berada dalam keadaan sihat walafiat dan dapat menjaga serta menguruskan kehidupan harian Encik Mohamed Hanipah.
Dalam keadaan begitu, Encik Mohamed Hanipah bergantung hidup kepada beberapa keperluan khas yang melibatkan kos yang agak tinggi, Walaupun atas dasar kemanusiaan majikannya tetap membayar gajinya seperti biasa tetapi setelah ditolak beberapa perkara, baki gaji Encik Mohamed adalah sebanyak RM1700 sebulan. Jumlah tersebut tidak mampu menampung kos keperluan khas Encik Mohamed Hanipah. Apatah lagi tiga daripada empat orang anaknya masih berada di bawah tanggungannya.
Syukur Alhamdulillah, permohonannya untuk mendapatkan bantuan daripada MAIPk telah diluluskan. Dengan nilai keseluruhan berjumlah RM8500.00, MAIPk telah membekalkan barangan keperluan khas Encik Mohamed Hanipah seperti sebuah katil hospital tiga fungsi, sebuah kerusi roda, bekalan lampin pakai buang, bekalan susu khas dan beberapa barangan yang lain.
Semoga bantuan yang diterima oleh Encik Mohamed Hanipah daripada MAIPk dapat meringankan sakit yang dialaminya serta memudahkan pula isterinya untuk memberikan penjagaan yang terbaik buat dirinya. Terima kasih kepada para muzakki negeri Perak.
Zakat yang ditunaikan menjadi seribu satu rahmat buat golongan mustahiq. Semoga beroleh ganjaran yang berpanjangan dan berterusan. Teruskan istiqamah berzakat dengan Zakat Perak-MAIPk. Pelbagai bentuk bantuan dapat disalurkan kepada golongan asnaf mengikut keperluan sebenar mereka. Boleh sahaja menunaikan zakat anda melalui online FPX. Klik https://ezakat.maiamp.gov.my.