MAIPk di Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak
IPOH, 8 Februari 2022 – Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak telah disertai oleh pihak MAIPk di Stadium Indera Mulia. Pihak MAIPk akan bersama-sama Kerajaan Negeri Perak mengadakan Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak pada hari Selasa minggu kedua setiap bulan mulai bulan Februari. Program Hari Bertemu Pelanggan adalah satu cara memperkasakan perkhidmatan MAIPk kepada pihak awam khusus kepada masyarakat Islam negeri Perak terutama kepada golongan asnaf. Menerusi program itu golongan ini dapat menyuarakan terus suara kepada pihak MAIPk. Hal ini merupakan salah satu usaha baik untuk mendekati pelanggan bagi mendapatkan maklumbalas dan cadangan mahupun aduan untuk pihak MAIPk ambil tindakan dan diselesaikan. Dalam masa yang sama memberi ruang kepada pelanggan mengetahui maklumat terkini tentang perkhidmatan yang disediakan oleh pihak MAIPk.
Program Hari Bertemu Pelanggan ini antaranya bertujuan memperkasakan perkhidmatan MAIPk secara langsung dengan bertemu para pelanggan. Inilah harapan utama pihak MAIPk disamping ia akan meningkatkan imej dan kualiti penyampaian MAIPk dari semasa ke semasa sekali gus mewujudkan budaya mesra pelanggan. Pihak MAIPk yakin Program Hari Bertemu Pelanggan akan berjaya menambah baik sistem perkhidmatan yang diberikan dengan perkhidmatan yang lebih cepat, cekap dan berkesan dalam menangani bantuan-bantuan kepada golongan asnaf. Jika dapat diberikan sedemikan rupa, masyarakat atau pelanggan pihak MAIPk bukan sahaja berpuas hati dengan perkhidmatan tetapi juga seronok dan gembira dengan layanan yang diberikan.
Pihak MAIPk turut menyediakan kemudahan van kaunter zakat dan wakaf yang menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti membuat bayaran wakaf tunai, membuat taksiran zakat, membuat bayaran zakat, membuat permohonan bantuan zakat, menyemak permohonan bantuan zakat dan turut menyediakan cenderahati kepada pembayar zakat. Pada Program Hari Bertemu Pelanggan kali ini disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Tuan Shahrul Azam bin Shaari, Encik Ahamad Muzammbil bin Arbain, Pengurus Bahagian Agihan Zakat dan pegawai-pegawai Bahagian Agihan Zakat dan Bahagian Pemasaran.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga negeri Perak yang hadir ke kaunter MAIPk di program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak. Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak yang telah menganjurkan Program Hari Bertemu Pelanggan ini serta juga kepada Bahagian Agihan Zakat dan Bahagian Pemasaran MAIPk yang telah memberi komitmen sepenuhnya dalam menjayakan program ini.