Misi Bantuan Banjir MAIPk Ke Pahang (Hari Kedua)
KARAK, 1 Januari 2022 – Meneruskan misi bantuan banjir MAIPk ke Pahang untuk hari kedua, anggota Skuad Banjir Zakat Perak-MAIPk bertumpu di Taman Sentosa, Karak, Pahang.
Dengan kekuatan seramai 40 orang anggota, skuad kami dibahagikan kepada tiga kumpulan yang ditugaskan untuk membersihkan rumah kediaman yang terjejas termasuklah perabot serta kenderaan seperti kereta dan motosikal milik mangsa.
Pada hari kedua ini, kerja-kerja pembersihan melibatkan lima buah rumah mangsa. Dengan keadaan lumpur yang tebal, kerja-kerja pembersihan tersebut sememangnya memerlukan tenaga kerja yang ramai dan mengambil masa yang lama bagi setiap rumah mangsa. Apatah lagi kedalaman banjir yang berlaku telah menenggelamkan kenderaan dan hampir keseluruhan rumah mangsa.
Menurut salah seorang penduduk yang dibantu, Puan Rozita, kejadian banjir kali ini merupakan kali pertama berlaku sejak lebih enam tahun beliau sekeluarga menetap di situ. Mengimbas kembali kejadian pada malam tersebut, beliau menceritakan bahawa air naik begitu cepat dan mereka sekeluarga hanya sempat menyelamatkan beberapa barang sahaja manakala bekalan elektrik juga terputus. Berlindung di atas loteng, percubaan mereka untuk mendapatkan bantuan tidak berjaya kerana pasukan penyelamat juga terkandas sehinggalah pagi esoknya mereka diselamatkan. Dianggarkan 90% barangan miliknya sekeluarga musnah sepenuhnya termasuk dua buah kereta dan motosikal.
Beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas kehadiran Skuad Banjir Zakat Perak-MAIPk kerana benar-benar telah dapat membantu mempercepatkan proses pembersihan rumah kediamannya. Ucapan terima kasih dan penghargaan yang diterima daripada mereka yang dibantu menyemarakkan lagi semangat anggota skuad banjir ini untuk menyempurnakan misi bantuan banjir kali ini dengan sehabis baik.
Untuk makluman, selain menghantar Skuad Banjir Zakat Perak-MAIPk ke Pahang untuk misi bantuan banjir kali ini, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak turut menyumbangkan dana sebanyak RM150,000.00 untuk mangsa banjir yang disalurkan melalui Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang.
Semoga yang membantu dan yang dibantu sama-sama beroleh keberkatan dan pertolongan Allah SWT. Tahniah dan syabas Skuad Banjir ZakatPerak-MAIPk, “Bantu Tetap Bantu!”.
#Banjir2021 Misi2021n2022 #SquadBanjirMAIPk #KonvoiMAIPk #MAIPkSamaBantu #BantuanKePahang #MisiBantuanBanjirMAIPk #MAIPkPrihatin #BantuTetapBantu #ZakatPerak #BeratSamaDipikul