Laporan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar Strategi Lautan Biru Negara
TAIPING, 15 Mei 2013 Keceriaan jelas terpancar di wajah Encik Sulaiman bin Yahaya, penerima bantuan bina rumah di bawah Progaram My Beautiful Neighbourhood kerjasama antara Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak.
Rumah asal milik penerima bantuan telah hangus terbakar dalam tragedi kebakaran pada 19 Mei 2012. Proses pembinaan rumah baharu telah bermula pada 18 Mac 2013 dan telah siap sepenuhnya dalam tempoh masa hanya 25 hari sahaja dengan berkat usaha gigih hampir 30 orang anggota bomba dan penyelamat. Proses pembinaan rumah baharu merupakan salah satu agenda utama dalam Program My Beautiful Neighbourhood.
Antara tetamu kehormat yang hadir dalam majlis ini termasuklah YBhg. Datuk Arpah binti Abdul Razak, Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Yang Berbahagia, YB. Dato Abdul Puhat bin Mat Nayan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YBhg. Dato Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk dan YAS. Dato Wan Mohd Nor bin Hj Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Aturcara majlis dimulakan dengan ucapan para dif kehormat dan upacara penyampaian sijil penghargaan kepada para anggota bomba dan penyelamat yang terlibat dalam pembinaan rumah ini. Acara kemuncak iaitu perasmian masuk rumah baharu telah dijayakan oleh YBhg. Datuk Arpah binti Abdul Razak, Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Akhir sekali, upacara simbolik penanaman pokok telah dijayakan oleh YBhg. Datuk Arpah binti Abdul Razak, YB. Dato Abdul Puhat bin Mat Nayan dan YBhg. Dato Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan. Majlis bersurai pada pukul 12.00 tengahari dengan jamuan makan tengahari.