Ucapan Hari Pekerja oleh Dato' KPE MAIPk
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
DAN Salam Perak Aman Jaya..
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud,
Sesiapa yang bermalam dalam keadaan penat kerana mencari rezeki yang halal maka dia bermalam dalam keampunan. (Riwayat Ibnu Asakir daripada Ibnu Anas)
Setiap individu di dalam masyarakat Islam dituntut untuk bekerja dan berusaha. Lipatan sejarah menunjukkan kepada kita bahawa Nabi-Nabi yang diutus oleh Allah S.W.T juga menjalankan tugasan dan masing-masing bekerja seperti Nabi Daud Alaihis Salam sebagai tukang besi, Nabi Saleh Alaihi Salam sebagai penternak, dan Nabi Muhammad S.A.W. pernah menjalani kehidupan sebagai peniaga.
Kerja dan usaha merupakan senjata utama dalam memerangi kemiskinan dan ia merupakan pendekatan yang paling berkesan untuk mencari kekayaan. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud,
Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan hak mereka. Demikian (pula) kepada fakir miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan. Dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. (Surah al-Isra 17:26)
Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada anda semua. Tahniah atas jawatan yang disandang, hargai dan laksanakanlah amanah dengan penuh integriti dan kerukunan. Jika anda sedang memikirkan bagaimana untuk memiliki gaji dan pangkat yang besar, sedarilah bahawa ramai sahabat-sahabat diluar sana yang sedang berfikir bagaimana untuk memiliki kerjaya seperti yang sedang anda sandang.
Marilah kita membuktikan rasa syukur kepada Allah S.W.T. atas nikmat-nikmat yang diberi dengan mengeluarkan 2.5% daripada sebahagian wang simpanan, saham, hasil gaji, emas & perak, perniagaan dan lain-lain harta sebagai zakat yang telah ditentukan kepada 8 asnaf agihannya. Selain itu, Kami juga bersedia untuk menguruskan permohonan wakaf anda, wang-wang tidak patuh syariah (seperti dividen), harta-harta yang dijumpai, urusan nazar dan kaffarah. Sila layari www.maiamp.gov.my dan hubungi talian 05-2084000 untuk mengetahui maklumat lanjut tentang informasi yang diperlukan.
Sekian,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
MEMIMPIN UMMAH DEMI AGAMA
BERZAKAT: HARTA TERPELIHARA, ASNAF TERBELA
Salam Hormat Dari Saya,
Dato Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak