Taklimat Amil Fitrah 2025: MAIPk Perkasakan Pengurusan Zakat Fitrah
IPOH, 17 Februari 2025 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) terus melangkah ke hadapan dalam memperkasakan pengurusan zakat fitrah dengan menganjurkan Taklimat Amil Fitrah Daerah Ipoh 2025 di Dewan Al Ghazali, Tingkat 2 KIDR.
Program ini dirasmikan oleh Ustaz Ahmad Nazim bin Md Tajuri, Pengurus Besar SBU Zakat Perak Al-Ridzuan yang menekankan kepentingan peranan amil dalam memastikan kutipan zakat fitrah diuruskan dengan efisien, telus dan berintegriti.
Majlis dimulakan seawal 9.00 pagi dengan pendaftaran peserta, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk. Seterusnya, Eksekutif Kanan Unit Teknologi Maklumat SBU ZAPAR MAIPk menyampaikan taklimat mengenai penggunaan sistem i-Fitrah termasuk muat turun aplikasi, kemas kini maklumat peribadi, akses kad tauliah digital serta paparan kod QR Amil bagi memudahkan urusan kutipan zakat secara lebih sistematik dan moden.
Taklimat diteruskan oleh Pengurus Bahagian Dasar dan Strategik Kutipan SBU ZAPAR MAIPk yang membentangkan gerak kerja Amil Fitrah 2025 termasuk analisis kutipan zakat fitrah 2024 dan strategi penambahbaikan bagi memastikan prestasi kutipan tahun ini lebih cemerlang.
Dalam memastikan pengurusan kewangan yang cekap, Eksekutif Kanan Bahagian Kewangan SBU ZAPAR MAIPk memberikan penerangan mengenai Akaun Virtual Maybank, semakan kutipan zakat fitrah, prosedur penyerahan wang kutipan serta pembayaran upah amil.
Sebagai persediaan praktikal, sesi latihan simulasi penggunaan sistem turut diadakan bagi membolehkan amil lebih memahami aplikasi i-Fitrah. Latihan ini dikendalikan oleh Unit Teknologi Maklumat serta Unit Pengurusan Prestasi, Kualiti, Integriti dan Risiko MAIPk.
Program diakhiri dengan sesi soal jawab sebelum ditutup dengan jamuan makan tengah hari pada 1.00 petang.
Penganjuran taklimat ini diharapkan dapat meningkatkan kecekapan, ketelusan dan profesionalisme dalam kalangan amil, seterusnya membantu memperkasakan pengurusan zakat fitrah di negeri Perak. 


