Pembekalan Makanan Berkhasiat Berjumlah RM206,400 Kepada Murid-Murid Rumah Baca Royal Belum
Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) bersama Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) telah melaksanakan Sesi Pemantauan Berkala di Rumah Baca Royal Belum bagi meninjau kemajuan pembelajaran anak-anak Komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman tersebut pada 2 Oktober 2025.
Hasil tinjauan mendapati sesi pembelajaran berjalan dengan baik, dengan peningkatan ketara dalam kemahiran mengenal huruf dan mengira dalam kalangan murid. Rumah Baca ini menampung penglibatan seramai 200 orang anak-anak Orang Asli, meliputi enam buah kampung berikut:
1. Rumah Baca Kejar
2. Rumah Baca Hibol
3. Rumah Baca Tanhain
4. Rumah Baca Kampung Klewang
5. Rumah Baca Sungai Tiang
6. Rumah Baca Kampung Bongor
Selain memberi sokongan pendidikan asas, MAIPk turut melaksanakan Program Pembekalan Makanan Berkhasiat bagi tempoh setahun (Mei 2025 – Mei 2026), dengan peruntukan sebanyak RM206,400 termasuk kos penghantaran.
Program ini bertujuan memastikan anak-anak di Rumah Baca Royal Belum mendapat bekalan makanan sihat dan seimbang bagi menyokong tumbesaran fizikal serta kecergasan minda mereka.
MAIPk merakamkan penghargaan kepada semua pembayar zakat di Negeri Perak serta rakan pelaksana yang sentiasa bersama menjayakan inisiatif ini. Semoga usaha berterusan ini menjadi pemangkin kepada masa depan yang lebih cerah buat generasi Orang Asli di Royal Belum.



