MAIPK Sumbang Bot Untuk Masyarakat Orang Asli Pulau 7, RPS Banun
GERIK, 07 Mac 2017 - MAIPk telah menyumbangkan sebuah bot penumpang dengan keluasan 21 kaki panjang dan berkapasiti enjin 40 kuasa kuda untuk kegunaan masyarakat Orang Asli Pulau 7, RPS Banun, Gerik. Kampung ini merupakan sebuah pulau kecil di perairan Tasik Banding. Sumbangan bot ini adalah kerana melihat akan keperluan penduduk di situ yang tidak mempunyai sebarang pengangkutan air. Sebelum ini mereka terpaksa menggunakan bot dari kampung berhampiran dan perkara ini amat menyulitkan mereka.
Keperluan bot ini telah disyorkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr Amiruddin Bin Muhamed ketika lawatan ke Perkampungan Orang Asli Sungai Tiang sempena majlis penyerahan bantuan zakat baru-baru ini. Terdapat banyak pulau-pulau kecil di Tasik Banding ini dijadikan perkampungan Orang Asli dan sudah pasti pengangkutan utama mereka adalah bot. Sekiranya keperluan asas ini tiada, sudah pasti mereka ini menghadapi pelbagai kesulitan terutamanya jika berlaku perkara-perkara kecemasan seperti sakit dan sebagainya.
Bot yang berharga RM22,050.00 ini telah diamanahkan kepada Ketua Kampung Pulau 7 untuk dijaga dan digunakan sebaiknya demi kepentingan penduduk. Sumbangan bot ini hanyalah salah satu bentuk bantuan yang diberikan kepada mereka. MAIPk sebenarnya telah banyak membantu masyarakat Islam Orang Asli bukan sahaja di daerah Gerik, malah di seluruh Negeri Perak. Selain aktiviti dakwah, MAIPk juga membantu dari segi kebajikan mereka dengan menyalurkan pelbagai bantuan lain menggunakan dana zakat.