Zakat Terfitnah di Media Sosial
Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid (Abu Iqbal)
ANTARA perkara dalam Islam yang sering menjadi fitnah, ialah zakat. Ini kerana, zakat adalah lubuk harta. Wang juta-juta ringgit terkumpul di pusat zakat.
Maka, tidak peliklah zakat sering menjadi bahan bicara. OKU tidak dapat bantuan, zakat yang kena. Ibu tunggal tidak dapat santunan, zakat yang kena. Anak yatim tidak dapat sambung belajar, zakat yang kena. Gelandangan yang merempat, zakat juga kena. Malah, bapa tunggal yang menumpang di stor masjid, zakat juga yang kena.
Apabila ada pemohon datang ke pejabat zakat, permohonannya ditolak. Lalu dia pun masukkan kisahnya ke dalam media sosial. Akhirnya, ia pun tersebar. Zoooom, sekejap sahaja sudah menjadi viral. Orang ramai rasa terpanggil untuk memviralkannya, kerana bagi mereka ia baik. Baik bagi menyedarkan pusat zakat. Biar lebih efisien, lebih cakna. Tanpa sedar, viral itu menjadi fitnah. Menjadi dosa.
Sering sangat, kes permohonan ditolak, menjadi bola, pegawai lambat, banyak prosedur, bantuan tidak cukup atau bantuan dihentikan, menjadi bahan dalam viral di media sosial. Kita akur, tidak ada orang yang suka dengan segala macam karenah birokrasi. Aci boleh, masuk dan duduk sahaja di hadapan pegawai zakat, segalanya selesai.
Ustaz, saya nak mohon bantuan sebanyak se¦.
Okay, lulus. Kami luluskan RM1000.
Errr ustaz, saya nak minta seratus sahaja¦
Tak mengapa, zakat bagi seribu.
Mungkin inilah senarionya. Tanpa ada banyak soal, baru duduk dan buka mulut, permohonan sudah lulus. Lebih banyak dari yang diminta pula. Tidak perlu isi borang dan sediakan dokumen sokongan. Bukan seperti sekarang. Minta RM1,000 tetapi yang lulus mungkin RM500. Sudahlah tak penuh, banyak tanya pula.
Apa tujuan? Encik tinggal di mana? Encik kerja apa? Berapa pendapatan? Berapa tanggungan? Rumah sewa atau sendiri? Bla¦bla¦bla¦
Ramai orang marah dengan pertanyaan ini. Seorang ustaz dengan gelar doktor pernah berkata dalam kuliahnya.
Tugas antum pegawai zakat, bagi bantuan. Jadi janganlah banyak tanya. Apabila ada orang datang, maka berilah sahaja zakat. Mudahkan urusan mereka.
Wah, mudahnya! Saya terfikir, mulia sungguh fikiran sang ustaz. Sayang, beliau lulusan agama, ada PhD dalam bidang Usul Fiqh, tetapi tidak mendalami pengurusan zakat. Jika semudah itu menyalurkan zakat, maka buanglah hadis nabi yang memerintahkan amil zakat menyemak latar belakang pemohon zakat.
Rupa-rupanya, tidak semua asatizah memahami selok-belok pengurusan zakat. Padanlah ada seorang penceramah tersohor, pernah menegur.
Ana hairan, bagaimana pusat zakat boleh bantu mangsa banjir. Mereka guna asnaf apa agaknya?
Saya mengurut dada. Sekali lagi, beliau kurang periksa sebelum berkata-kata. Bukankah ada disebutkan dalam hadis, mengenai orang-orang yang ditimpa bencana. Zakat layak buat mereka.
Jadi, adakalanya apabila para asatizah sendiri yang kurang arif dalam hal ehwal zakat memberi komen, ia menjadi lebih berbisa. Viralnya bisa meracuni ratusan ribu orang. Menghakis kepercayaan kepada pengurusan zakat. Menambah yakin bahawa pusat zakat memang tidak boleh diharap.
Maka, jadilah zakat terfitnah di media sosial. Fitnah yang kononnya diatas-namakan untuk memberi teguran dan pembetulan kepada pusat zakat. Ternyata sebaliknya, ia menjadi racun yang mematikan. Mematikan kepercayaan, mentalqinkan keyakinan kepada sebuah ejensi Islam.
Pusat-pusat zakat sendiri bukanlah naif dalam mendepani keperluan ummah. Semua sedar, keperluan umat Islam berubah dari semasa ke semasa. Sebagai contoh, dalam pengagihan zakat di bawah asnaf Gharimin (orang berhutang), pusat zakat melihat tidak semua hutang boleh dilayan. Jika semuanya dilayan, akan memudaratkan.
Lalu, hutang yang bersifat keperluan asas dan mendesak seperti melibatkan nyawa lebih diutamakan. Misalnya hutang mendapatkan rawatan hospital, bukanlah murah. Kos pembedahan kadang kala boleh menyebabkan pesakit meninggal dunia sebelum sempat mencari dana. Begitu juga kos dialisis, yang tiada tarikh tamatnya kecuali mati. Hal ini bersifat keperluan menyelamatkan nyawa.
Maka, automatiklah pusat zakat tidak melayani orang berhutang yang ada kalanya, sengaja mencari penyakit. Hutang kad kredit, hutang perabot, barang elektrik. Apatah lagi hutang ahlong. Itu memang hutang cari penyakit. Penyakit kepada si pemiutang dan penyakit juga kepada pusat zakat.
Bayangkan, berapa ramai orang akan mengambil kesempatan. Buat hutang dengan ahlong, apabila tidak mampu melunaskannya, zakat akan selesaikan. Gunalah kad kredit sehingga maksimum, nanti bila tidak mampu langsaikan, zakat jelaskan. Termasuklah, guna elektrik sebanyaknya dan biar bertunggakan, nanti zakat juga selamatkan.
Ini penyakit. Penyakit kepada umat, menjadi malas dan tidak kisah membuat hutang (dan dosa, kerana sengaja meminjam dari ahlong dan enggan membayar hutang). Penyakit kepada pusat zakat, fikir-fikirlah sendiri. Gunung pun akan runtuh jika ditarah hari demi hari. Akibatnya apa? Apakah ia mampu menyelesaikan masalah ummah, menangani kemiskinan atau menyuburkan?
Namun, masyarakat kita tetap mengharapkan zakat menyelesaikan segalanya. Mereka berhujah, hutang mereka kerana keperluan. Mereka sanggup bersumpah. Namun, semudah itukah ia boleh dipercayai? Bagaimana jika selepas itu, mereka berhutang lagi dengan ahlong? Apakah zakat akan terus menanggungnya? Atau jika tidak, meraka mendakwa ahlong akan mencari dan merosakkan dirinya. Tidak ada jaminan.
Maka, dalam usul fiqh, disebutkan beberapa kaedah. Misalnya, mencegah lebih baik dari merawat (al-wiqayah khairun minal ilaj). Ertinya, yang pertama, bagi peminjam hendaklah mengelakkan meminjam dari penghutang yang memudaratkan seperti ahlong. Kedua, bagi pusat zakat jika membantu akan menarik ribuan orang lain juga meminjam dengan ahlong dan memohon zakat, maka elakkan. Hal ini disokong oleh satu lagi kaedah usul fiqh, iaitu menutup pintu kerosakan atau kebinasaan (sad al-zarai).
Masyarakat mungkin skeptikal bila pusat zakat memberikan hujah-hujah seperti ini. Namun harus diingat, zakat adalah ibadah asas dalam Islam. Maka setiap bantuan yang diluluskan, hendaklah mengikut kaedah syarak. Jika tidak, yang dikira berdosa bukan sekadar orang yang mengambil kesempatan, tetapi juga pegawai dan pusat zakat yang meluluskan. Wallahualam.