MAJLIS PENUTUP DAN PENYAMPAIAN SIJIL SEMINAR HIJRAH MINDA USAHAWAN PROPER A
IPOH, 13 Sept- Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) menganjurkan Seminar Hijrah Minda bagi peserta-peserta Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A) 2024 bermula 10 hingga 12 September bertempat di Hotel Park Avenue, Sungai Petani. Seminar ini melibatkan 30 peserta kursus refleksologi & urutan, 15 peserta kursus ternakan lebah kelulut, 30 peserta kursus kulinari & pastri serta 30 peserta kursus gunting rambut.
Seminar ini bertujuan melengkapkan diri para peserta dengan kemahiran dan pengetahuan bagi meningkatkan jati diri sebagai usahawan dan bersedia berhijrah mengubah nasib diri dan keluarga. Seminar 3 hari ini juga menekankan konsep inovasi dan kreativiti dalam mengenal pasti potensi diri sebagai usahawan berjaya.
Majlis Penutup disempurnakan oleh Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat, Encik Rohizan bin Haji Omar mewakili Ketua Pegawai Eksekutif. Turut hadir penyedia-penyedia latihan yang dilantik oleh MAIPk.
MAIPk menyediakan pelbagai siri program yang dinamik, memupuk bakat dan keupayaan asnaf agar berupaya meningkatkan kebolehan, kemahiran dan produktiviti menjadi usahawan berilmu, berdikari, berdaya tahan dalam dunia perniagaan.