Tahniah Puan Hasarinawati Abdul Wahab penerima Anugerah Ikon Asnaf sempena Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak
Ipoh: Keputusan Hasarinawati Abdul Wahab, untuk berdikari bagi menyara tiga anak masih kecil selepas berpisah dengan suami lebih 12 tahun lalu membuahkan hasil apabila kini bergelar usahawan wanita berjaya.
Wanita berusia 50 tahun itu adalah penerima Anugerah Ikon Asnaf sempena Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak hari ini yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Ibu tunggal kepada tiga anak berusia antara 21 hingga 27 tahun itu berkata, bantuan zakat berbentuk modal pusingan berjumlah RM6,500 yang diterima pada 2011 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengubah hidupnya.
Katanya, tidak hanya sekadar menghasilkan produk makanan beliau turut aktif berkongsi pengalaman selaku tenaga pengajar di pelbagai program latihan keusahawanan hingga mampu memperoleh anggaran pendapatan antara RM30,000 hingga RM40,000 sebulan.
"Jika saya keluar bekerja ketika itu, tiada sesiapa boleh menjaga anak-anak di rumah. Jadi di waktu itu saya cari alternatif dengan cuba membuat kuih, roti dan sebagainya secara kecilan yang justeru membolehkan saya meluangkan masa di rumah dalam pada mencari duit menyara keluarga.
"Dari situ saya diperkenalkan kepada bantuan MAIPk di bawah Skim Pemerkasaan Ekonomi Asnaf pada 2011 yang membolehkan saya mendapat beberapa peralatan baharu yang dapat meningkatkan lagi kadar pengeluaran berbanding biasa.
"Seterusnya, saya terus melangkah untuk sentiasa giat menambah kuantiti penghasilan produk sehinggalah seperti sekarang. Alhamdulillah selain bergantung hasil jualan produk pendapatan bulanan saya juga bersumber dari bayaran selaku tenaga pengajar di pelbagai program latihan keusahawanan, " katanya yang turut mempunyai perniagaan makanan di Taman Meru 2B, di sini.
Menurutnya lagi, kesenangan dikecapi pada waktu ini tidak sesekali membuatkan beliau lupa untuk kembali berbakti kepada masyarakat termasuk dengan menggajikan pekerja yang terdiri dari jiran tetangga yang sebahagiannya turut dari golongan asnaf serta ibu tunggal.
Katanya, kesusahan yang pernah diharungi bersama anak-anak membuatkan dia sentiasa menekankan mengenai kepentingan pelajaran kepada anak-anaknya yang mana anak sulungnya kini bergelar doktor gigi, manakala anak keduanya kini seorang peguam sementara anak bongsunya masih menuntut di universiti awam di Kelantan.
"Sentiasa akan ada jalan keluar bagi mereka yang benar-benar berusaha selain perlu merancang dengan teliti dengan apa yang hendak kita buat. Pada saya minat adalah perkara kedua selepas adanya jiwa dan kesungguhan serta usaha gigih bagi mengubah hidup.
"Matlamat nombor satu yang saya letakkan adalah hendak cari rezeki, jadi dengannya saya bulatkan tekad. Alhamdulillah jika sebelum ini saya penerima bantuan zakat namun sekarang saya membayar zakat," katanya.
Penerima Anugerah Ikon Asnaf sekali gus melayakkan Hasarinawati membawa pulang wang tunai RM5,000, sijil, serta plak.
Selain Anugerah Ikon Asnaf, turut disampaikan sempena Majlis Kemuncak Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak hari ini adalah Anugerah Al-Baqi' (Pengurusan Tanah Perkuburan Terbaik); Anugerah Al-Qubah (Pengurusan Masjid Terbaik); Anugerah Siti Khadijah (Wanita); Anugerah Saidina Ali (Belia); Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq (Tokoh Ar-Ridzuan); dan Anugerah Tokoh Ma'al Hijrah yang diberikan kepada Jurij Sulaiman.
Sumber : Harian Metro
Tonton video di Facebook MAIPk
https://www.facebook.com/ZakatPerakMAIPk/videos/616968113747832