BANTUAN BINA RUMAH MAIPk : MEREALISASIKAN RUMAH IMPIAN
Mohamad Rizwan bin Mat
Kampung Pecah Batu, Bonggor, Gerik
Bantuan Bina Rumah
Kampung Pecah Batu, Bonggor, Gerik
Bantuan Bina Rumah
GERIK : Encik Mohamad Rizwan bin Mat dari Kampung Pecah Batu, Bonggor, Gerik tidak menerima apa-apa bantuan kewangan daripada mana-mana pihak. Dia bekerja dengan bapa saudaranya sebagai pekebun. Cuma, isterinya yang menjadi suri rumah sepenuh masa dan berniaga kuih-muih secara kecil-kecilan pernah diberikan bantuan modal peralatan mesin membuat roti bernilai RM3800.00 oleh MAIPk pada tahun 2020 yang lalu. Malangnya kemunculan pandemik Covid-19 benar-benar menjejaskan usahanya yang baru sahaja bermula pada ketika itu.
Walaupun usaha itu diteruskan sehingga kini, namun hasilnya tidaklah seberapa.
Itulah sebabnya Encik Mohamad Rizwan amat berharap untuk dapat tinggal di rumah sendiri. Dapatlah meringankan sedikit bebanan kewangan mereka sekeluarga. Bolehlah duit untuk membayar sewa rumahnya sebanyak RM200.00 sebulan itu dimanfaatkan kepada perbelanjaan yang lebih penting.
Alhamdulillah, hasrat Encik Mohamad Rizwan dimakbulkan Allah SWT apabila permohonannya untuk mendapakan bantuan daripada MAIPk diluluskan. Pada 23 Mac 2022 yang lalu, rumah yang dbina oleh MAIPk bernilai RM76,500 diserahkan kepada Encik Mohamad Rizwan sekeluarga setelah siap untuk diduduki.
Betapa bersyukurnya Encik Mohamad Rizwan menerima bantuan ini. Kini, dia, isterinya dan lima orang anak mereka dapat memiliki rumah kediaman mereka sendiri. Tidak putus-putus ucapan terima kasihnya kepada MAIPk dan para muzakki yang telah merealisasikan impiannya untuk memiliki rumah sendiri. Dia juga amat berterima kasih kepada ibunya yang telah memberikan keizinan untuk pihak MAIPk mendirikan rumah itu di atas tanah milik ibunya itu.
Begitulah besarnya peranan zakat yang ditunaikan oleh para muzakki kepada Zakat Perak-MAIPk. Dana zakat yang terkumpul membolehkan golongan asnaf dibantu mengikut keperluan sebenar mereka. Teruskan istiqamah berzakat dengan Zakat Perak-MAIPk. Tunaikan melalui online FPX. Klik https://ezakat.maiamp.gov.my.