FORUM SEMARAK BERWAKAF
Ipoh, 5 April 2022 – Program Forum Semarak Berwakaf julung kali diadakan di Dewan Serbaguna Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Program dianjurkan inisiatif Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Jabatan Agama Islam Perak. Kira-kira 110 peserta terdiri daripada Ketua Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Naib Canselor universiti serta Pengarah Kolej, Pengetua, Mudir, Guru Besar dan agensi syarikat korporat serta GLC.
MAIPk melaksanakan Program Semarak Berwakaf bertujuan meningkatkan kesedaran dan memartabatkan budaya berwakaf agar terus subur dalam jiwa masyarakat serta menjadi ikutan generasi akan datang. Perkongsian ilmu disampaikan terdiri daripada tiga orang panel oleh YBhg. Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan Perak Dato’ Dr. Afifi al-Akiti, merupakan ulama Melayu di Universiti Oxford dan serba berkebolehan dalam pelbagai bidang keilmuan. Beliau menerima Watikah Perlantikan sebagai anggota MAIPk serta dikurniakan gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan sebagai Orang Besar 8 Perak dan dilantik Ahli Rasmi Dewan Negara Perak.
Seterusnya panel perkongsian oleh YBhg. Profesor Azman Bin Ab Rahman, merupakan Profesor VK-7, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan menganggotai Ahli Jawatankuasa Pengurusan Wakaf dan Zakat, MAIPk. Selain itu, panel perkongsian turut disertai oleh En. Suhaimi bin Yusoff, Pengurus Besar Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Mal dan Wakaf, MAIPk yang pengalaman pengurusan wakaf di negeri Perak.
MAIPk mengharapkan berwakaf melalui Waqaf Perak Ar-Ridzuan akan terus diperkasakan dan dikembangkan bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat tidak kira sama ada mereka daripada golongan berpendapatan rendah, sederhana ataupun tinggi sama-sama berpeluang melaksanakan amal jariah dengan berwakaf agar manfaatnya dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat.
Pihak MAIPk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua panel yang terlibat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Jabatan Agama Islam Perak yang sudi menjalinkan kerjasama bagi menganjurkan program ini.
Semoga kesedaran dan keprihatinan masyarakat membudayakan ibadah wakaf sangat dituntut dalam mencerminkan cetusan tekad dan semangat untuk saling membantu mengangkat martabat umma, di samping mengharapkan semua lapisan masyarakat memainkan peranan untuk menyemarakkan amalan berwakaf serta mempromosikannya sebagai antara sumber kewangan sosial Islam dalam usaha memperkasakan ekonomi umat Islam.