Program Hijrah Asnaf Ke Menara Gading (HIASMEGA) 2020
LENGGONG, 4 Mac 2020 – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah mengadakan majlis penutup Program Hijrah Asnaf Ke Menara Gading (HIASMEGA) 2020 di Dewan Besar, KKTM Lenggong. Majlis disempurnakan oleh YDH. Toh Muda Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda Dato' Ar.LA Meor Roslan bin Dato’ Seri Hj. Meor Ahmad Rashidi, Orang Besar Jajahan Hulu Perak. Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, A.F Ustaz Bakri bin Lee. Program yang direncanakan ini merupakan satu inisiatif MAIPk dalam meningkatkan taraf ekonomi asnaf Fakir dan Miskin melalui bidang pendidikan bagi membolehkan anak asnaf melanjutkan pendidikan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seterusnya berdaya saing di alam pekerjaan. Program ini adalah satu persediaan pelajar dalam menentukan hala tuju selepas memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta persediaan sebelum melangkah ke IPT. Program ini juga akan membantu pelajar mendapatkan maklumat lanjut tentang IPT pilihan meliputi kursus yang ditawarkan serta syarat-syarat kemasukan. Selain itu, membantu mengenal pasti kursus yang ditawarkan sesuai dengan minat dan cita-cita pelajar sekaligus membantu memperolehi keputusan yang cemerlang dalam semua subjek yang bakal diambil seterusnya memperolehi pekerjaan di industri tersebut.
OBJEKTIF
- Meningkatkan motivasi dan pengetahuan pelajar berkaitan program-program pengajian yang ada di seluruh Malaysia bagi persediaan menyambung pengajian selepas mendapat keputusan SPM.
- Memberi maklumat berkaitan bantuan-bantuan yang disediakan oleh MAIPk bagi menarik minat asnaf untuk meneruskan kelestarian pendidikan mereka.