Program Jejak Asnaf Daerah Seri Iskandar
SERI ISKANDAR, 11 September 2019 - Alhamdulillah, saban tahun pihak MAIPk menganjurkan Program Jejak Asnaf bagi menyantuni golongan-golongan asnaf yang memerlukan bantuan daripada dana Zakat. Sebanyak enam buah keluarga telah MAIPk santuni di sekitar Mukim Bota dan Layang. Pihak MAIPk daerah Seri Iskandar telah menganjurkan program ini yang diketuai oleh Bahagian Agihan Zakat bersama Tuan Haji Muzammil Bin Arbain, Pengurus Bahagian Agihan Zakat dan Ustaz Johar Bin Zainal Abidin, Pegawai Baitulmal Daerah Seri Iskandar serta Skuad Prihatin Asnaf (SPA) bagi menyantuni asnaf ke rumah-rumah untuk membantu menyampaikan bantuan dan mendapatkan maklumat bantuan yang bersesuaian dengan keadaan asnaf.
Pada masa yang sama, Pihak MAIPk turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai berserta kotak makanan bagi menampung keperluan asasi setiap keluarga. Program sebegini dilihat amat baik dan menepati makna agihan zakat itu sendri kerana pihak MAIPk dapat bertemu dan melihat dengan lebih jelas keadaan sebenar kehidupan asnaf yang tidak bernasib baik ini walaupun lokasinya di dalam kawasan pedalaman kampung. Hasil kunjungan yang dijalankan, pelbagai jenis bantuan akan dipertimbangkan oleh pihak MAIPk seperti bantuan perubatan, bantuan kewangan bulanan dan bantuan bina rumah sebagai langkah susulan dari program jejak asnaf ini agar nasib mereka akan terbela dan mendapat perhatian yang sewajarnya.