Majlis Perasmian Ladang MAIPk (Wakaf Saraan Masjid)
Sungkai, 21 September 2016 Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr. Amiruddin bin Muhamed telah merasmikan Ladang MAIPk Sungkai (Wakaf Saraan Masjid). Tuan Haji Mohamad Tarmizi Bin Taib, Ketua Pegawai Eksekutif PKEINPk Sdn. Bhd. dan Dato Haji Shoib bin Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah PKEINPk Sdn. Bhd. turut sama hadir dalam majlis tersebut.
Tanah ini merupakan tanah yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan bagi tujuan saraan masjid-masjid seluruh Negeri Perak. Tanah ini telah didaftarkan atas nama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 12 April 2013 selaku pemegang amanah tunggal bagi semua harta wakaf seluruh Negeri Perak menurut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.
Dr. Amiruddin bin Muhamed bersama tetamu jemputan lain telah dibawa melawat sekitar ladang tersebut. Beliau secara simbolik turut menyempurnakan tuaian BTS pertama bagi ladang ini. Ladang yang berkeluasan 1850 ekar ini dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit oleh anak syarikat MAIPk, PKEINPk Sdn. Bhd. (PSB), sesuai dengan kepakaran dan pengalaman luas PSB dalam bidang perladangan.
PSB telah memulakan projek ini mulai Ogos 2013 dengan tanaman pertama pada tahun 2014 dalam anggaran 120 pokok sehektar. Hasil keuntungan bersih dari ladang ini yang diserahkan pada MAIPk akan dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Masjid Negeri Perak yang ditadbir sepenuhnya oleh MAIPk untuk diagihkan kepada masjid-masjid berdasarkan keperluan dan keutamaan. Langkah ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan terhadap dana zakat terutamanya peruntukan yang melibatkan kerja-kerja baikpulih fizikal masjid.