MAIPk SALUR RM25,350.00 BANTUAN PERUBATAN KEPADA DUA ASNAF DI ZON SELATAN
Tidak disangka, Abdul Rahim Abdullah Chan merupakan pemilik restoran suatu ketika dahulu, kini sedang diuji masalah kesihatan yang semakin serius dari hari ke hari. Masalah kesihatannya tidak dapat didiagnosis oleh perubatan moden sehingga kini. Isteri Abdul Rahim turut membawanya berubat dengan rawatan tradisional. Kesan daripada masalah kesihatannya, Abdul Rahim tidak lagi mampu menguruskan dirinya dengan sendiri dan beliau terbaring di atas katil.
Beliau dan isterinya tidak lagi menguruskan restoran untuk menjana pendapatan bulanan mereka. MAIPk menyalur bantuan bulanan dan bantuan perubatan seperti lampin pakai buang dewasa, kerusi roda dan kerusi mandi mudah alih bagi membantu Abdul Rahim dan isterinya.
MAIPk turut membantu bayi Ryana Syifa yang diuji dengan kelahiran pra-matang. Akibat kelahiran pra-matang tersebut menyebabkan paru-parunya diserang dengan virus yang sangat berbahaya dan boleh membawa kepada komplikasi yang serius. Bayi Ryana memerlukan ubat vaksin jenis Palivizumab. Harga ubat yang tinggi tidak mampu disediakan sekaligus oleh ibu bapa Ryana. Ketika ibu bapa Ryana bekerja, Ryana dijaga oleh datuk dan neneknya. MAIPk tampil membantu Ryana agar dapat menjalani rawatan dengan baik dan sempurna.
Bantuan kepada dua-dua penerima itu diserahkan oleh Pengurus Besar Zon Selatan, Encik Wan Abdul Halim Hafiidz b.Mohd Amin. Semoga bantuan yang disalurkan dapat memberikan kelegaan kepada asnaf serta dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung untuk menjalani rawatan yang sedang dilaksanakan.
Terima kasih pembayar zakat. Dengan duit zakat anda dapat membantu ribuan asnaf yang memerlukan bantuan perubatan.












