HAMPIR RM300,000.00 BAGI KURSUS USAHAWAN KULINARI DAN PASTRI KEPADA ASNAF UNTUK JANA PENDAPATAN
IPOH, 11 September – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) telah mengadakan Majlis Penyerahan Peralatan kepada 30 Peserta Kursus Kulinari dan Pastri Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A) 2024 di Ipoh.
Majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) MAIPk, Puan Wan Maizura binti Wan Zahari melibatkan pembekalan peralatan kulinari dan pastri dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM297,900.00. Antara peralatan yang diterima oleh peserta seperti mesin dan ketuhar industri makanan, peti simpanan sejuk beku, mesin retort, pengisar industri, meja keluli serta pelbagai lagi peralatan perniagaan mengikut keperluan peserta.
Tajaan ini juga merangkumi latihan keusahawanan secara percuma, bimbingan dan pemantauan secara berkala selama 6 bulan. Bagi kursus kulinari dan pastri ini, Puan Hasarinawati binti Abdul Wahab, iaitu Ikon Asnaf Negeri Perak sempena Sambutan Maal Hijrah 1445 merupakan penyedia latihan yang dilantik dan bertanggungjawab membimbing peserta kursus seramai 30 orang.
Pihak MAIPk berharap agar barangan dan peralatan yang dibekalkan dapat membantu meningkatkan pendapatan dan produktiviti perniagaan dalam menghasilkan pelbagai produk makanan yang berkualiti serta melahirkan para muzakki yang baharu pada masa hadapan.
Terima kasih pembayar zakat. Teruskan membantu golongan asnaf dengan menunaikan zakat secara dalam talian di https://ezakat.maiamp.gov.my