BANTUAN PERUBATAN : BANTUAN KATIL DAN TILAM ANGIN
Memiliki pasangan hidup sehingga akhir hayat merupakan impian semua. Anak-anak yang telah dewasa akan mempunyai kehidupan dan pasangan mereka sendiri. Pasangan kitalah teman setia yang menghibur setiap kali duka dan nestapa. Menemani dan meraikan detik-detik gembira bersama-sama.
Encik Osman bin Yahaya sedang meniti usia emasnya bersama-sama isteri tercinta di Kampung Kerunai, Gerik. Atas faktor usia, dia tidak lagi mampu bekerja. Hanya mengharapkan sumbangan anak-anak sekiranya ada.
Isterinya sedang diuji dengan serangan angin ahmar dan kini terlantar tidak berdaya. Encik Osman yang menguruskan isterinya. Ada kalanya dia juga terkena serangan ‘semput’ apabila terlalu keletihan mahupun terdedah dengan suhu yang rendah.
Isteri Encik Osman hanya mampu baring di katilnya. Kerana terlalu lama baring di tilam biasa, belakang badannya menjadi ruam dan luka. Encik Osman tidak mampu membelikan tilam yang bersesuaian untuk mengurangkan kesan melecet di belakang badan isterinya. Dia memohon bantuan MAIPk Daerah Gerik.
Syukur permohonannya diluluskan. MAIPk menyalurkan bantuan perubatan berupa katil dan tilam angin bagi mengurangkan ketidakselesaan yang dialami isteri Encik Osman selama ini. Bantuan bernilai RM2,510 itu disampaikan sendiri oleh Pegawai MAIPk Daerah Gerik, Encik Zul Azri bin Hosaini.
Terima kasih muzakki yang sentiasa menyokong MAIPk. Dana zakat anda membantu kami menyantuni Encik Osman dan isteri. Teruskan membantu mereka yang memerlukan dengan zakat yang dihulurkan. Tunaikan zakat anda kepada Zakat Perak-MAIPk melalui online FPX. Klik https://ezakat.maiamp.gov.my
Tonton video di Instagram MAIPk
https://www.instagram.com/p/CyIHvOWsxPJ/?hl=en