BANTUAN BAIK PULIH RUMAH : MENITI SENJA
BAGAN SERAI - Encik Saari bin Mat Rabi yang bermukim di Batu 9 ½, Jalan Kerian kini telah meniti usia senja bersama-sama pasangannya. Dia yang menghidap asma kronik tidak lagi dapat melakukan kerja kampung untuk menafkahi kehidupannya dan isteri tercinta. Isterinya pula menghidap penyakit kencing manis.
Perbelanjaan bulanan mereka berdua hanya bergantung pada bantuan bulanan MAIPk sebanyak RM300 sebulan. Anak-anaknya yang tinggal berasingan ada menghulurkan sumbangan bulanan. Namun tidak menentu kerana mereka juga mempunyai tanggungan masing-masing.
Seiring berjalannya waktu, rumah yang sekian lama didiami kini semakin uzur. Terutamanya bahagian bumbung dan atap rumah. Sebahagian besar atap rumah Encik Saari telah bocor dan kayu-kayu alang juga mereput.
Apabila hujan, dia dan isteri terpaksa menahan air hujan yang menitis dengan bekas dan periuk yang ada. Sejak atap yang bocor bertambah teruk, suhu di dalam rumah juga menurun. Encik Saari juga kerap terkena serangan asma kerana tidak tahan dengan suhu sejuk. Untuk membaiki kerosakan bumbung tersebut, mereka tidak berkemampuan. Tiada jalan lain melainkan memohon bantuan daripada MAIPk.
Syukur, rezeki menyebelahi pasangan warga emas ini. MAIPk Daerah Bagan Serai, meluluskan bantuan baik pulih atap mereka. Bantuan baik pulih rumah tersebut berjumlah RM15,000.
Terima kasih muzakki. Dana zakat anda membantu pasangan ini tinggal di dalam kediaman mereka dengan lebih selesa walaupun ketika musim hujan. Diharapkan juga kesihatan Encik Saari bertambah baik kerana tidak lagi terdedah dengan suhu yang dingin. Teruskan membantu mereka yang memerlukan dengan berzakat kepada Zakat Perak-MAIPk. Anda juga boleh menunaikan zakat melalui online FPX. Hanya klik https://ezakat.maiamp.gov.my
Tonton video di Instagram MAIPk
https://www.instagram.com/p/Cx4tQ34Lg8T/?hl=en