BANTUAN BINA RUMAH : KEDIAMAN YANG LEBIH SELESA
Puan Norina binti Ahmad, kini berumur 54 tahun. Balu anak empat ini menyara anak-anaknya dengan berniaga kedai makan di Sungai Kerang, Trong. Purata pendapatannya sekitar RM1000 sahaja sebulan. Anak lelakinya sudah bekerja dan tinggal berasingan. Tiga orang lagi anak perempuannya masih di bawah tanggungannya dan tinggal bersama-samanya termasuk anak bongsunya yang masih bersekolah.
Anak sulung Puan Norina yang berumur 26 tahun menghidap kanser ovari yang kronik. Dia masih lagi menjalani rawatan susulan di Hospital Ipoh enam bulan sekali. Puan Norina dan tiga orang anak perempuannya itu menetap di kedai makan tempat mereka berniaga. Bahagian depan kedai itu dijadikan ruangan berniaga manakala ruangan belakang dijadikan tempat tidur. Sudah 10 tahun mereka anak-beranak menetap di situ. Untuk memberikan keselesaan kepada anak-anaknya, Puan Norina nekad memohon bantuan daripada MAIPk.
Berdasarkan tinjauan awal, jelas kelihatan tempat tidur mereka tidak sempurna dan tidak selesa. MAIPk Daerah Selama telah meluluskan Bantuan Bina Rumah baharu kepada mereka. Rumah jenis tiga bilik berkeluasan 850kp itu dibina di atas tanah pusaka milik Puan Norina. Rumah tersebut bernilai RM76,500. Bantuan tambahan sebanyak RM2000 juga diberikan untuk pembersihan tapak rumah baharu tersebut.
Terima kasih kepada muzakki yang sentiasa bersama-sama kami. Dana zakat anda kali ini telah memberikan tempat tinggal yang lebih baik buat Puan Norina dan anak-anaknya. Berkat zakat yang ditunaikan, kebaikannya dapat dinikmati oleh mereka yang memerlukan. Teruskan membantu yang memerlukan dengan berzakat kepada Zakat Perak-MAIPk. Semoga menjadi asbab kita masuk ke dalam syurga. Untuk berzakat melalui online FPX, klik https://ezakat.maiamp.gov.my
Tonton video di instagram
https://www.instagram.com/p/CxWqop9uFR3/?hl=en