Anugerah Kecemerlangan Petronas
Kaherah, 30 Januari 2013 - Seorang Mahasiswi tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) antara penerima anugerah tertinggi dalam majlis yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Mesir bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik dan kepimpinan mereka.
Atase Pendidikan Negeri Perak di Mesir, Munawir bin Mohamed Noh memberitahu, anugerah berkenaan adalah pertama kali diadakan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. "Bagi pihak Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak di Mesir, Kami merasa sangat berbangga dengan pengiktirafan tersebut dan ini menunjukkan bahawa anak negeri Perak Darul Ridzuan berada dalam barisan mahasiswa/wi cemerlang yang sedang belajar di Mesir pada ketika ini walaupun negara ini sedang berhadapan dengan pergolakan dan krisis politik dalaman. Ianya juga merupakan galakan kepada anak-anak negeri Perak yang lain untuk terus mencipta kecemerlangan dalam pendidikan dan menunjukkan usaha serius pihak MAIPk membantu golongan asnaf Fisabilillah terbukti berbaloi" Katanya melalui kiriman email dari Madinat Nasr, Kaherah kepada pihak MAIPk.
Mahasiswi yang telah mengharumkan nama negeri Perak Darul Ridzuan di Mesir adalah Zahidah binti Zainal Abidin, penuntut tahun tiga di Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab, Jabatan Usuluddin & Ulum Quran, Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir telah menerima Anugerah Kecemerlangan dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500.00 bersama sijil tajaan syarikat petroleum negara, Petronas dan disampaikan oleh TYT Dato' Ku Jaafar bin Ku Shaari, Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir.
"Saya bersyukur dengan kejayaan ini. Terima kasih kepada kedua ibu bapa saya, pensyarah-pensyarah seterusnya kepada pihak Majlis AgamaIslam dan Adat Melayu Perak yang telah membantu saya sehingga berjaya ke tahap begini. Ia satu penghormatan dan pengiktirafan kepada seluruh anak negeri Perak Darul Ridzuan terutamanya penerima zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak yang berada di Mesir. Harapan saya semoga kejayaan ini dapat dikongsi bersama dan akan muncul lebih ramai mahasiswa/wi cemerlang dari negeri Perak sekaligus dapat kembali berkhidmat dan menabur bakti dalam masyarakat." Ujar Zahidah.