PROGRAM JEJAK ASNAF MAIPk 2022 DAERAH MUALLIM
Pada hari Khamis, 17 Mac 2022, Program Jejak Asnaf MAIPk Daerah Muallim diadakan dengan tumpuan kepada beberapa asnaf di Felda Sungai Behrang, Slim River. Program kali ini turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Shahrul Azam bin Shaari. Program dimulakan dengan taklimat ringkas di Pejabat MAIPk Daerah Muallim seawal jam 9.30 pagi.
Sebagai lawatan ke rumah pertama, para peserta program singgah menyantuni Mak Cik Rabibah binti Ismail yang sudah berusia 72 tahun. Dia merupakan penerima bantuan kewangan bulanan MAIPk sebanyak RM300. Kesihatan Mak Cik Rabibah kurang baik kerana dia menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis. Hasil tinjauan pada hari tersebut mendapati keadaan fizikal rumah Mak Cik Habibah sudah kurang selamat untuk diduduki. Banyak bahagian rumahnya yang sudah reput terutama bahagian dapur seperti menanti hendak roboh sahaja. MAIPk Daerah Muallim akan mengambil tindakan susulan.
Asnaf kedua yang dikunjungi ialah Encik Suhaimi bin Shafiei. Anak jati Felda Sungai Behrang ini sudah beristeri dan mempunyai empat orang puteri selain turut menjaga ibunya yang sudah uzur. Encik Suhaimi berniaga makanan dan minuman dengan dibantu oleh isterinya. Pendapatan hasil perniagaan adalah sekitar RM800.00 sebulan. Daripada kunjungan itu, Encik Suhaimi turut menyatakan hasrat untuk mendapatkan bantuan modal barangan dan peralatan perniagaan untuk meningkatkan lagi pendapatan perniagaannya itu. Pihak MAIPk Daerah Muallim akan menguruskan proses permohonan Encik Suhaimi tersebut.
Asnaf terakhir yang dikunjungi semalam ialah Encik Ishak bin Abdullah, berusia 57 tahun yang kini terlantar akibat penyakit darah tinggi, kencing manis dan tulang belakang. Encik Ishak dijaga sepenuh masa oleh isterinya. Walau bagaimanapun, Encik Ishak bergantung penuh kepada susu khas sebagai gantian makanan hariannya. Hasil tinjauan mendapati Encik Ishak memerlukan bantuan bekalan susu khas tersebut. Lampin pakai buang pula masih mencukupi untuk tempoh enam bulan lagi. Pihak MAIPk Daerah Muallim akan mengambil tindakan lanjut yang seterusnya.
Program pada hari tersebut dapat mencapai objektif yang disasarkan. Kesemua asnaf tersebut akan terus mendapat pembelaan MAIPk. Program berakhir menjelang tengah hari selepas berkumpul semula di Pejabat MAIPk Daerah Muallim.
Semoga para muzakki negeri Perak terus bersama-sama kami dalam menyantuni dan membela nasib golongan asnaf yang memerlukan. Teruskan berzakat dengan Zakat Perak-MAIPk. Tunaikan saja secara online FPX.
Klik https://ezakat.maiamp.gov.my.
Klik https://ezakat.maiamp.gov.my.